Film Maker

Satu Dekad Di Simpan Rapi

30 Novermber 2021.

Hari ini merupakan hari terakhir aku sebagai seorang pengarah kreatif. Dari sebuah studio kecil yang diberi nama Loulpop Studio, sehingga sebuah empayar bernama Kharya Media, sedekad memerah idealogi, visualisasi, kemampuan, skills dan kemahuan, kini sudah sampai masanya untuk legasi ini di tidurkan untuk sekian kali, setelah sedekad melakar seni.

Tidak.

Jawapan itu untuk soalan kalian adakah pemergian ini buat selamanya. Buat masa ini, semua perancangan untuk meneruskan impian membina sebuah empayar visual terpaksa di tidurkan buat seketika. Bukan tidak mahu, bukan saja tidak berani atau tidak mampu, tetapi lebih kepada sebuah hibernasi seketika untuk memberi peluang mata dan angan ini untuk berehat, biar segar untuk perjalanan yang seterusnya, jika masih ada nyawa dan jiwanya.

Sebab lain, mungkin minda ini sedikit tepu, sedikit hilang fokus tuju. Dua tahun setengah pandemik ini memberi masa untuk aku reset kembali dan membuat evaluasi memyeluruh terhadap keadaan diri. Sedekad itu bukan sebentar atau mudah. Sebab itulah mereka-mereka ini perlu pergi bercuti buat seketika, rehatkan diri dari tekanan yang meminta-minta. Moga nanti bila diseru mereka kembali, datangnya seperti harimau yang laparkan rusa, yang mampu menghasilkan karya yang lebih enak untuk dipersembah kemata anda semua.

Secara dasarnya, aku masih lagi akan berkarya, tetapi kali ini segmen yang agak berbeda dengan rutin aku selama sedekad ini. Tiada lagi mengikut kemahuan aku, kepercayaan aku ataupun kemampuan aku, tetapi lebih kepada sebuah kolaborasi bersama dengan pasukan yang baru, ideologi baru, dan halatuju yang mungkin sedikit berbeda dari yang sebelumnya, namun mungkin lebih jitu.

Bermula Disember 2021, aku akan bersama dengan sebuah organisasi kecil bertaraf dunia, dan secara asasnya, aku akan membantu mereka membina visual mengikut citarasa mereka pula. Mengikut resipi mereka, ramuan rempah ratusnya mengikut halatuju organisasi mereka. Tiada lagi untuk aku, tiada lagi angan-angan mat jenin aku. Semuanya untuk mereka dan mereka. Dan aku rasa kolaborasi ini amat perlu untuk ketika ini. Untuk aku, dan juga mereka. Aku perlukan rehat dari imaginasi liar aku, bereksperimentasi dengan lakaran dan output yang lebih baru dalam mengikut peredaran waktu. Dan mereka pula memerlukan aku untuk visualisasi mereka yang baru, supaya organisasi mereka bertambah maju. Jadi, kolaborasi ini seharusnya baik untuk kedua-dua kami, bukan begitu?

Kolaborasi ini diharap supaya dapat mencapai cita dan azamnya. Usaha buat mereka, mereka memerlukan semua ini dalam meneruskan rencana mereka menjadi gergasi dunia. Dan untuk aku, aku juga mahu membantu mereka-mereka ini menjadi gergasi dunia, kerna pada aku, mereka layak. Diharap dengan kolaborasi ini, aku dapat sedikit sebanyak membawa mereka ke persada dunia melalui mata, idea dan pengalaman luas aku sebagai seorang perkarya.

2011-2021.

Memori 10 tahun sebagai seorang pengarah kreatif banyak membantu aku menjadi seorang manusia. Terlalu banyak ilmu dan pengalaman yang dikutip dalam perjalanan ini. Syukur lah, Tuhan memberi peluang 10 tahun kepada aku untuk menzahirkan apa saja visual yang aku inginkan selama ini. Aku puas, dan tidak pernah sekali terdetik nada sesal dalam perjalanan ini.

Aku amat gembira sebenarnya bila mengenangkan kembali semua pencapaian aku selama sedekad berkarya membina visual. Tiada pernah rasa jemu. Aku rasa bebas selama sedekad ini, menghasilkan karya mengikut apa yang selalu di imaginasikan di dalam mimpi-mimpi aku. Aku beruntung diberi peluang ini, dan aku pasti tiap kali kalian akan bertanyakan soalan ini, jawapan aku tetap sama, aku puas dan redha dengan segalanya.

Dari Spider, Faizal Tahir, Hannah Delisha, Altimet, Hafiz Suip, Adira, Datin Alyah, Khai Bahar sehinggalah ke Tokti, Nissa Sabyan dan Taufik Batisah, semua ini aku akan kenang sebagai sebuah memori yang terlalu indah sebagai seorang tukang gambar. Siapa sangka anak kampung dari Kedah ini, dengan tiada pendidikan khas dalam bidang seni visual, tidak pernah ke sekolah filem dan seni, tetapi mampu menghasilkan karya-karya visual untuk nama-nama tersohor di bumi Malaya ini. Tiada bukan? Aku sendiri pun tak pernah mimpikan mimpi seindah ini. Aku bersyukur dengan semua nikmat yang pernah diberi.

Aku bangga.

In the end of the days, aku bangga dengan semua visual yang pernah aku hasilkan. Aku bangga dengan setiap mereka yang setia bersama aku dari awal sehingga ke hari ini, tak kira yang datang dan juga pergi. Moga suatu hari nanti, air tangan aku ini akan ditagih kembali oleh industri supaya kesinambungan visual aku dapat di bangunkan dari tidurnya kembali. Kita doa moga masa itu akan tiba nanti.

Tetapi untuk masa ini, biarlah ia tidur dulu, sendiri.

Selamat tidur, KH.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s